Sunday 2 June 2013

IBU BAPA ....PENTING.... PERLUKAH MURID BERCINTA KETIKA DI BANGKU SEKOLAH?...( CINTA MONYET)

اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ



FENOMENA BERCINTA DI SEKOLAH


1- Persoalan Tentang Cinta
Cinta merupakan satu anugerah yang suci, murni dan mulia. Namun kebanyakan manusia telah menodai kesucian cinta dengan meletakkan cinta itu pada landasan dosa dan maksiat. Perkara tentang cinta banyak dinukilkan dalam novel-novel, lagu-lagu, syair-syair dan telah banyak dipersembahkan dalam bentuk drama-drama dan filem. Namun apakah sebenarnya cinta? :
“Apakah cinta? Adakah cinta hanya perasaan kasih dan sayang antara lelaki dan perempuan sahaja atau cinta merupakan perkataan rekaan yang dicipta melalui perasaan sahaja? Mengikut Kamus Dewan cinta adalah perasaan kasih sayang terhadap seseorang. Sebenarnya cinta boleh ditafsirkan dengan seribu istilah mengikut si pencipta dan suasana. Namun pada asasnya cinta membawa maksud bekerja bersama-sama, ketawa bersama-sama, membangun bersama-sama, samada kejayaan kecil atau besar” (Robiah Kulop Hamzah, Remaja dan Cinta, 1993).
Keasyikan bercinta menyebabkan beberapa persoalan timbul dalam jiwa golongan yang bercinta:
“Adakah cinta seorang lelaki sama dengan cinta seorang wanita? Apakah yang perlu dilakukan untuk memperkatakan cinta? Dari manakah datangnya kekuatan cinta yang begitu dahsyat? Apakah saya benar-benar dicintai? Apakah dia tidak mengkhianati cintanya? Adakah dia sungguh-sungguh mencintai saya? Bagaimanakah sebenarnya cinta yang agung? Benarkah orang tidak boleh hidup tanpa cinta? Mengapa saya menjadi mangsa cinta?” (Robiah Kulop Hamzah, Remaja dan Cinta, 1993).
Jika kita perhatikan dalam sejarah penciptaan Adam dan Hawa dan bagaimana zaman-zaman yang telah berlalu pasti ada cerita cinta agung yang sentiasa diriwayatkan dan berterusan lalu mencanang keajaiban cinta, sehinggakan terciptalah dan lahirlah pelbagai falsafah cinta, tafrifan dan istilah-istilah cinta yang hebat-hebat serta unik dari pelbagai bangsa, budaya, lapisan masyarakat, peringkat umur, sehingga setiap insan yang mendengar perkataan "Cinta" ini merasa teruja untuk menikmati keindahan cinta. Sebagai contohnya cerita cinta agung Laila dan Majnun yang melahirkan pemikiran falsafah "Cinta tidak mengenal rupa" begitu juga kisah romantis Romeo dan Juliet yang menyebarkan pemikiran "Cinta tidak mengenal darjat" dan banyak lagi. Barangkali jika kita senaraikan kalimah-kalimah cinta yang menukilkan istilah-istilah cinta sahaja pun, tentu akan menghasilkan satu karya yang melibatkan berjilid-jilid pembukuan. Itu tidak termasuk cerita-cerita dan riwayat-riwayat cinta, belum juga termasuk, karya-karya syair, puisi, seloka, pantun, sayembara dan gurindam-gurindam cinta. Begitulah hebat dan dahsyat penangan cinta dalam kehidupan umat manusia sejak penciptaan cinta pertama Adam dan Hawa.
2- Mengapa Pelajar Sekolah Ingin Bercinta Dan Bolehkah Mereka Bercinta ?
Seperti yang kita sedia maklum, sebenarnya fenomena bercinta di kalangan pelajar sebenar telah lama wujud dan tidak dapat dibendung. Ini kerana ia merupakan naluri semulajadi setiap remaja, iaitu perasaan ingin menyayangi dan rasa ingin disayangi dengan berlainan jantina.
Persoalan pertamanya, mengapa pelajar sekolah ingin bercinta? Pertama sekali penulis ingin membawa pembaca sekalian terobos balik sejarah silam atau masa lalu kita, kita sebagai orang dewasa pernah melalui waktu-waktu dan alam remaja, apakah perasaan dan emosi kita ketika itu? Bukankah sama sahaja dengan apa yang sedang dialami dan dirasai oleh remaja zaman sekarang? Kita terlalu ingin merasai betapa kebahagiaan perasaan dicintai dan perasaan ingin mencintai dengan yang berlawanan jantina. Jangan kita lupa bagaimana keghairahan kita pada waktu itu untuk mendapat kepuasan cinta. Begitu jugalah apa yang sedang dialami pelajar sekolah zaman sekarang, kerana dorongan perkembangan fisiologi dan perkembangan unsur seksual dan emosi dalam diri remaja pada peringkat selepas akil baligh mendorong jiwa semulajadi mereka untuk bercinta.
Persoalannya, bolehkah pelajar bercinta? Kebiasaan yang kita dengar daripada jawapan masyarakat, remaja yang menjalinkan cinta dalam alam persekolahan telah menjalinkan hubungan "Cinta terlarang". Apakah benar ia patut disebut sedemikian rupa sedangkan kita pernah melalui zaman seusia denga mereka dan pernah merasai perasaan dan emosi sedemikan? Bagi menjawab persoalan ini, mari kita lihat jawapan dari seorang tokoh apabila diajukan soalan ini oleh seorang pelajar:
“Menjalin satu perhubungan cinta bukan satu gurauan. Jika anda merasa diri anda sudah matang dan bersedia ke arah itu ia bukan satu masalah. Bagaimanapun, cuba jalinkan hubungan cinta itu sekiranya adik sudah benar-benar yakin serta mampu menghadapi pasang surut dalam dunia percintaan. Melibatkan diri dalam percintaan ketika di bangku sekolah mungkin boleh menjejaskan pelajaran anda. Oleh itu anda jangan mudah terpengaruh dengan keadaan keliling. Dalam menjalin satu perhubungan lakukan mana yang diredhai asalkan tidak membawa masalah kepada anda.” (Puan Amina Hj Noor, Persoalan Remaja Masa Kini, 1998).
Bagi penulis, inilah jawapan dan pandangan yang tepat. Kita perlu sedar kita hanya mampu melarang pelajar dari terjebak dengan cinta, namun kita tidak mampu membendungnya kerana ia merupakan fenomena semulajadi dalam kejadian manusia. Jika kita melarang sekalipun, pelajar tetap akan bercinta secara berahsia, ini akan merumitkan lagi keadaan, kerana jika berlaku apa-apa yang tidak diingini seperti terlanjur berzina, adalah kerana kita tidak tahu dan tidak kenal dengan siapa mereka bercinta sehingga banyak kes-kes yang buang bayi tidak dikenali siapa ayahnya yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh sebab itu, bukan jalan terbaik untuk kita melarang pelajar daripada bercinta, tapi kita perlu mengawal dan mebimbing remaja bagaimana bercinta secara sihat, iaitu bercinta dengan kawalan batas syariat agama serta adab-adab bangsa, agar tidak menjunamkan remaja ke lembah salah laku seks, dosa dan maksiat.

SUMBER : http://faizalmulia.blogspot.com/2009/09/fenomena-bercinta-di-sekolah.html

No comments:

Post a Comment